Petron Road Safety UMP 2018
Seramai 1,300 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai aktiviti Cabaran Amazing Race dalam memupuk kesedaran Keselamatan jalan raya bersempena Program Petron Road Safety yang diadakan di UMP Kampus Gambang pada 24 September 2018 yang lalu.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UMP, Profesor Dato' Dr. Yusserie Zainuddin, Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Korporat Petron Malaysia, Lokman Hani.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pahang, Mohammad Abdullah, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Pahang, Noor Jihati Abdul Kadir dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UMP, Muhammad Hairynizam Muhd Taib.
Menurut Profesor Dato' Dr. Yusserie, pihak universiti merakamkan penghargaan kepada Petron Malaysia kerana memilih UMP antara tujuh lokasi penganjuran Petron Road Safety Programme pada tahun ini.
Ujarnya, UMP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan dan swasta untuk mengelolakan inisiatif seumpama ini bagi memanfaat masyarakat terutama melibatkan mahasiswa universiti.
“Peredaran zaman telah mengubah landskap pemikiran dan cara penerimaan generasi muda yang lebih tertarik kepada bentuk penyampaian advokasi dan pendidikan kepada mereka.
1,300 mahasiswa sertai Cabaran Amazing Race pupuk kesedaran keselamatan jalan raya
“Justeru, saya percaya program advokasi yang bersifat kreatif dan santai ini dapat diterima generasi muda, “ katanya.
Selain itu, elemen pembelajaran aktif dalam kandungan program ini dapat disampaikan dengan berkesan mengenai kesedaran keselamatan jalan raya dalam suasana yang santai.
Tambah beliau lagi, dalam mengimpikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bukan sahaja berpendapatan tinggi tetapi juga berbudaya tinggi, maka sikap rakyat negara ini mengenai etika di jalan raya perlu terlebih dahulu ditransformas dan mengharapkan lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang.
Manakala menurut Lokman Hani pula, pihaknya teruja dalam memperkenalkan program ini yang dapat memupuk tabiat keselamatan jalan raya dan tahun ini merupakan tahun keempat penganjurannya melibatkan lebih 7,000 mahasiswa.
Pihaknya percaya menerusi program ini dapat mencapai lebih ramai mahasiswa dan mengajar mereka untuk memastikan perjalanan di atas jalan raya lebih selamat dan mencegah kemalangan.
Dalam pada itu, cabaran keselamatan jalan raya Amazing Race Petron menggunakan pendekatan yang menyeronokkan, menarik dan interaktif.
Pasukan mahasiswa ini akan bersaing bagi menyelesaikan empat pitstop keselamatan jalan raya yang terdiri daripada kuiz keselamatan jalan raya, pengenalpastian tayar yang rosak, pentafsiran papan tanda keselamatan jalan raya dan penyelesaian ujian tempat letak kereta termasuk cabaran manuever motosikal.
Program ini merupakan anjuran Petron Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR).